Selasa, 25 Jun 2013

kajian masa depan

Kajian Masa Depan

Kajian Masa Depan (KMD) ialah satu pendekatan pengajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu perkara atau isu yang berlaku pada masa lampau, masa kini, dan masa depan.  Ini bermakna, murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta mengendalikan perubahan supaya mereka mendapat manfaat yang maksimum.

Pengajaran berasaskan KMD merupakan strategi secara saintifik yang dibina untuk menambahkan keupayaan murid dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup dan membuat keputusan.  KMD dapat dianalogikan seperti kita yang sedang memandu kereta.  Sepanjang pemanduan itu, kita sering dikejutkan dengan perkara-perkara yang tidak dijangka.  Sebagai contoh, ketika sedang memandu, tiba-tiba seorang kanak-kanak melintas di hadapan kereta kita.  Oleh itu, sepanjang pemanduan, kita haruslah peka dan sentiasa berwaspada.  Masa depan sangat dinamik kerana sentiasa berubah.  Masalah yang berlaku pada masa depan lazimnya kompleks dan penyelesaiannya bersifat global.  KMD lebih berciri saintifik kerana dapat diuji, boleh diulangi, dan dapat diramal.

Rasional Pengajaran Kajian Masa Depan(KMD)

Pembelajaran berasaskan KMD diperkenalkan untuk mendidik generasi baharu supaya menghadapi cabaran dan perubahan.  Pembelajaran berasaskan KMD merupakan strategi secara saintifik yang dibina untuk menambahkan keupayaan pelajar dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup dan membuat keputusan untuk menghasilkan generasi masa depan yang berkeyakinan, berupaya, dan bertanggungjawab.  KMD yang dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran akan:

i.          Membina generasi masa depan
KMD memberi kesedaran dan merangsang murid berfikir tentang isu, masalah, dan peluang yang bakal dihadapi. Keadaan ini akan membolehkan mereka memandang masa depan dengan yakin dan optimis serta mengambil bahagian dalam merancang masa depan mereka.

Ii          Menghasilkan tenaga manusia yang berfikir
Sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam menghasilkan tenaga manusia yang dapat berfikir tentang masa depan.  Selain daripada itu, mereka seharusnya berfikir untuk menggambarkan serta menjangkakan masalah yang bakal timbul.

iii         Menjangka masalah dan membuat pilihan yang baik
Pelajar juga dapat mencari alternatif dan pilihan ke arah masa depan yang lebih baik.

iv         Membawa anjakan paradigma
Pelajar akan membawa anjakan paradigma terhadap budaya belajar yang berasaskan pengetahuan dan ingatan semata-mata ke arah budaya berfikir.








Objektif Kajian Masa Depan

Berikut adalah objektif pelaksanaan KMD:
i           Berfikir secara kritis dan kreatif serta membuat keputusan tentang hal-hal masa
depan
KMD boleh membina minda suka bertanya dan kemahiran intelek yang dapat membantu pelajar berfikir secara kreatif, terarah, analitis, dan reflektif tentang keseluruhan hidup manusia dan proses meneroka alternatif dan pilihan.

ii          Berkomunikasi secara berkesan tentang hal-hal masa depan
KMD juga membantu pelajar memberi sumbangan ke arah kesejahteraan dan kebaikan dunia dan membina strategi menambah keupayaan pelajar dalam menghadapi berbagai-bagai cabaran hidup.

iii         Membina sikap dan nilai tentang masa depan
KMD akan membina keyakinan pelajar supaya mereka mampu mengawal diri, boleh membuat pilihan berasaskan etika, dan nilai moral serta berupaya mempengaruhi masa depan mereka.

iv         Mempunyai pengetahuan dan kefahaman tentang kajian masa depan
KMD memberi asas kepada pelajar memahami dan menghayati Wawasan 2020 dan memantapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan, konsep, kemahiran, dan kaedah dalam mengkaji masa depan.

v          Membuat kajian dan mengurus maklumat tentang hal-hal masa depan
Pelajar digalakkan menjadi warganegara yang lebih bertangungjawab, tahu membeza dan  menilai, berketrampilan, dan mempunyai gambaran jelas tentang masa depan.







Strategi Kajian Masa Depan


Pelajar menggunakan pemikiran kritis dan kreatif untuk meninjau perubahan keadaan daripada masa lalu sehingga ke masa kini dan meramalkan keadaan pada masa hadapan.  Pedagogi ini berpusatkan pelajar dan menggabungjalinkan pelbagai bidang seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Alam Sekitar, dan Sejarah.  Nilai murni seperti  bertanggungjawab dan bekerjasama dipupuk melalui kaedah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan