Khamis, 27 Jun 2013

Kata Bilangan

Kata Bilangan
            Kata bilangan yang berfungsi sebagai penerang dalam frasa nama boleh wujud di hadapan katan nama inti. (Abdullah Hassan, 2006) Dalam konteks ini, bilangan yang digunakan merujuk kepada unsur numerik yang menjadi penanda kepada jumlah yang difokuskan dalam frasa.
Contoh    :
lima ekor kuda
segolongan kecil peneroka
kelima-lima pendekar silat
sekumpulan penyelidik
segelintir pengundi
sejumlah wang
sebilangan besar pekerja
Contoh ayat:
(19) Lima ekor kuda telah dibeli oleh Haji Tahir.
(20). Segolongan kecil peneroka sudah menanam pokok gaharu.
(21). Kelima-lima pendekar silat itu menunjukkan gaya kepahlawanan.
(22). Sekumpulan penyelidik sudah mendapat elaun khas.
(23). Segelinitr pengundi pilihanraya dilihat berlegar-legar di situ.
(24). Sejumlah wang yang besar diperlukan untuk kos perubatan.
(25). Sebilangan besar pekerja sudah pulang ke kampung.
Secara lebih khusus, kata bilangan boleh dibahagikan kepada enam kumpulan berdasarkan makna (Hashim Hj.Musa, 1993);
i. Kata bilangan tentu
ii.Kata bilangan tak tentu
iii.Kata bilangan  himpunan
iv.Kata bilangan pisahan
v.Kata bilangan pecahan; dan
vi.Kata bilangan tingkatan



Kata Bilangan Tentu
Kata bilangan yang mendukung makna tentu yang menjurus kepada bilangan khusus terdiri daripada angka yang boleh dilambangkan dengan simbol atau huruf abjad.
Contoh:
              satu = 1                       empat   =  IV
               dua = 2                       sepuluh = X 
Contoh ayat:
(26). Konvokesyen  ke-2 telah dilaksanakan pada hari semalam.
(27). Sukan Asia ke-XIV telah mencatat satu sejarah kegemilangan atlet
         Malaysia.
(28). Dollah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian.
(29). Shakira mempunyai empat ekor anak kucing.
(30)  Hang Tuah memiliki dua ekor kuda putih .

Kata Bilangan Tak Tentu

Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang tidak khusus .
Contoh:
Segala, semua , banyak ,sedikit, beberapa, sekalian, sekelompok.
Contoh ayat:
(31). Beberapa orang guru telah ditukarkan ke sekolah pedalaman.
(32). Kegiatan gotong-royong itu disertai oleh semua penduduk kampung.
(33). Segala bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah amat dihargai.

Kata Bilangan  Himpunan
Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang terhimpun atau terkumpul.
Contoh:
berpuluh-puluh, berbelas-belas, beratus-ratus, beribu-ribu, kedua-dua, kelima-lima, kesemua.

Contoh ayat:
(34). Berpuluh-puluh kenderaan tentera telah bergerak ke sempadan negara.
(35). Kedua- dua peninju itu  telah diberi penghargaan oleh pihak persatuan.
(36). Kesemua mangsa banjir telah dipindahkan ke tempat yang selamat.

Kata Bilangan Pisahan
Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pemisahan dalam proses memerihalkan bilangan yang menjadi dasar pokok pernyataan. Kata jenis ini juga adalah sejumlah perkataan yang menyokong makna bilangan yang terasing.
Contoh:
masing-masing, setiap, tiap-tiap
Contoh ayat:
(37). Masing-masing ada pendapat yang tersendiri dalam isu  pembangunan
        sukan.
(38).  Setiap hari dilalui oleh Pak Malau dengan hati yang tabah.
(39).  Tiap-tiap pasukan mempunyai ketua yang dilantik oleh pihak pengurusan.

Kata Bilangan Pecahan
Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pecahan atau pembahagian  daripada jumlah keseluruhannya.
Contoh:
setengah, separuh, sepertiga, segelintir, sebahagian
Contoh ayat:
(40). Setengah daripada kawasan ini adalah milik Tuan Haji Ali.
(41). Sabar itu adalah separuh daripada iman.
(42). Sebahagian daripada ahli-ahli persatuan tidak hadir.





Kata Bilangan Tingkatan
Kata bilangan tingkatan merujuk kepada  sejumlah perkataan yang mendukung makna taraf tingkatan bilangan.
contoh:
pertama, kedua, ketiga , keseribu.

contoh ayat:
(43). Gerai pertama menjadi perhatian pembeli.
(44). Dia mampu meraih tempat kedua sahaja dalam pertandingan tersebut.

(45). Pengunjung keseribu akan diberi hadiah cepu emas. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan